Warna pada alam ini dicipta mungkin supaya manusia tertarik kepada keindahan warna dan tertarik untuk mengkaji fungsi sesuatu makhluk itu dicipta. Penerokaan terhadap salah satu rahsia alam in akhirnya mendedahkan kehebatan Pencipta melalui karyaNya yang amat menakjubkan.
Satu kisah...
Samudera masih bergelora, namun galakknya tidak sehebat tadi. Mentari mula mengintai di celahan awan kelabu. Gerimis halus masih berjujuran. Sejuk menusuk tidak terkira lagi. Nun saujana mata memandang, kelihatan kilat berkilau perlahan. Guruh turut bergemuruh, tetapi dalam nadanya yang semakin sopan. Cuaca semakin aman.Laut semakin damai. Begitulah semakin reda ketakutan di jiwa penhuni bot layar dari Klang. Mentari bertambah berani. Sesusuk wajah pelagi petang tiba-tiba muncul di hadapan. Bot itu meluncur ke arahnya. Hati yang tenang kini berkocak kembali. Nafas semakin kencang. Keadaan ini belum pernah terjadi.
"Melintas pelangi! Tidak mungkin!!!"
Bot menerpa laju memasuki daerah pelangi dengan tujuh spektrum warna itu persis terpaan perindu yang tidak tertahan lagi. Seluruh bot dan seluruh jasad berwarna warni. Alam menjadi saksi, detik jantung seakan berhenti. Lidah menjadi kelu, hanya hati yang mampu berbicara,
"Mimpikah ini? Aku di dalam pelangi??" "Tidak! Ini hakiki, kita bermandi sinaran pelangi! Allahu Akbar, Allah Maha Besar!"
Seakan tersentak daripada mimpi. Bentak nurani yang menyerlah suara hati yang bertemu keindahan kudus. "Ini keindahan kudus. "Ini satu hadiah daripada mu. Siapakah kami sehingga diberi nikmat keindahan ini? Akan kutitip kesyukuran ini sehingga saat kita bertemu. Terima Kasih Tuhanku," lalu air mata rindu tidak mampu disekat lagi.
Petikan ini menggambarkan situasi sebenar seorang hamba Allah dari Klang yang memasuki cahaya pelangi yang berwarna warni.
Artikel ini diambil daripada suratkhabar bertarikh Jumaat, 6 Mei 2005, Utusan Malaysia Oleh Kalam Emas.
Sambungan tentang warna masih banyak lagi saya akan kemas kini dari masa ke masa TQ.